Bintang Korea Selatan, Son Heung Min kini menjadi sasaran Al Ittihad untuk dibawa beraksi dalam Liga Arab Saudi dengan tawaran bernilai  £51 juta (RM302 juta).

Pemain Tottenham Hotspur itu menjadi sasaran terbaharu Al Ittihad selepas mereka melengkapkan pembelian berprofil tinggi, Karim Benzema dari Real Madrid dan dijangka melengkapkan perjanjian untuk membawa pemain Chelsea, N’Golo Kante ke Jeddah.

Menurut laporan daripada ESPN, Al-Ittihad sudah merisik Son Heung Min dengan tawaran perjanjian empat tahun dan bayaran gaji £26 juta (RM154 juta) semusim.

Kelab itu dijangka mengemukakan tawaran £51 juta kepada Tottenham termasuk bonus buat Son.

Son Heung Min merupakan tonggak utama Tottenham sejak beberapa tahun. Kelab utara London itu dijangka akan menolak tawaran itu kerana masih memerlukan khidmat Son untuk menguatkan jentera serangan.

Son telah menjaringkan 145 gol dalam 372 perlawanan buat Tottenham sejak menyertai kelab itu dari Bayer Leverkusen pada 2015.

Pemain berusia 30 tahun itu mengakui awal bulan ini dia bergelut  kerana terpaksa beraksi dalam kesakitan selama sembilan bulan.

Kesukaran dialaminya terbukti apabila Spurs beraksi hambar musim lalu, berakhir di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris.

Jika Son berpindah ke Al-Ittihad, dia akan bersatu semula dengan bekas pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo, yang mengemudi kelab Arab Saudi itu merangkul kejuaraan musim lalu.

Awal bulan ini, Dana Pelaburan Awam Saudi memperoleh 75% pegangan pemilikan dalam empat kelab terbesar – Al-Ittihad, Al-Nassr, Al-Ahli dan Al-Hilal – dengan matlamat menyenaraikan pemain terbaik di setiap kelab.

Pemain Wolves, Ruben Neves dijangka melengkapkan perpindahan £47 juta (RM278 juta) ke Al-Hilal, manakala Hakim Ziyech, Romelu Lukaku dan Pierre-Emerick Aubameyang turut dikaitkan dengan perpindahan ke negara Teluk itu.